Malaysia terus mempamerkan disiplin tinggi untuk mengikat lawan ranking lebih tinggi apabila mengikat China 1-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Phoenix Hill sebentar tadi.

Keputusan seri itu mampu menjadi tonik berguna buat skuad negara untuk terus meningkatkan prestasi bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Malaysia hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua permainan menerusi Darren Lok tetapi Faisal Abdul Halim yang melakukan ‘cutback’ terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Faisal pada minit ke-11 selepas rembatannya dalam kawasan penalti setelah menerima lorongan Akhyar Rashid berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Yan Jungling.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan lagi moral anak buah Kim Pan-gon untuk tampil lebih baik berdepan pasukan tangga ke-80 ranking bola sepak dunia itu.

Ia dibuktikan dengan tandukan ketua pasukan, Dion Cools pada ke-20 yang hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol China manakala berselang tiga minit kemudian rembatan kaki kiri Endrick Dos Santos dari jauh pula diselamatkan Jungling.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Jaringan yang dinantikan ribuan penyokong China hadir pada minit ke-36 apabila percubaan Lin Liangming ketika situasi sepakan percuma gagal diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi untuk kedudukan kembali terikat.

Melihatkan aksi kemas ditampilkan pemain Malaysia pada 45 minit pertama, China memperbaiki corak permainan untuk mengawal permainan dan mencipta peluang ke arah Ahmad Syihan.

Namun, percubaan voli Xie Pengfei ketika situasi kelam-kabut di depan pintu gol skuad negara pada minit ke-49 hanya sedikit tersasar.

Dua lagi peluang dimiliki Pengfei dan Xu Xin juga hanya tersasar dan tidak terlalu memberikan ancaman buat gawang negara.

Kedudukan 1-1 itu terikat hingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menghadiahkan dua keputusan seri buat skuad negara dalam siri perlawanan persahabatan di Chengdu.